PBS sokong rang undang-undang anti lompat parti di DUN Sabah- Maximus

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu Sabah akan menyokong rang undang-undang anti lompat parti apabila ia dibentangkan pada Persidangan DUN Sabah.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri telah menyatakan bahawa rang undang-undang itu adalah dalam agenda seterusnya persidangan DUN.

“Kami (tujuh ADUN PBS) akan sokong. Kelulusan undang-undang anti lompat parti adalah kemenangan bagi PBS, apa jua yang mengukuhkan kesucian serta kesetiaan ADUN kepada parti dan rakyat,” katanya dalam laporan BH malam tadi.

Semalam, Datuk Ewon Benedick yang secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), telah mencadangkan rang undang-undang anti lompat parti itu dibentangkan pada persidangan DUN, Mac ini.

ADUN Kadamaian itu berkata beliau mengemukakan cadangan berkenaan kepada Hajiji dan kerajaan negeri kerana disifatkan penting bagi mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew yang ditemui selepas jelajah mesra itu berkata tujuh ADUN dari PH juga akan menyokong rang undang-undang berkenaan.

“Apa juga keputusan kepimpinan parti, saya pasti Ketua Menteri (Hajiji) tahu apa yang perlu dilakukan. Jika kerajaan memulakannya (membentangkan rang undang-undang itu), kita akan sokong. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya