KOTA KINABALU: Konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama serta 20 pengkayaan diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sanagt sesuai untuk diamalkan di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, ini sekali gus memastikan rakyat di negeri ini menyokong usaha kerajaan untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah serta kesan pandemik COVID-19.
Katanya, di bawah tiga teras berkenaan termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.
“Nilai lain ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.
“Kita yakin program yang dianjurkan hari ini sangat bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’…Sejak pandemik melanda di seluruh negara kita kehilangan mata pencarian, kini semua sektor hampir beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Santai Bersama Penduduk KDMR UMNO Bahagian Sepanggar Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), di Kampung Kebayau, Tamalang, Maruah dan Sumagid di sini hari ini.
Yakub yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar berkata, nilai kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga sambil menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.
Dalam perkembangan berkaitan Yakub berkata, sepanjang COVID-19 kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat yang terjejas pendapatan bagi memastikan mereka tidak terjejas dalam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Kita mahu usaha ini terus dilakukan agar semua pihak dapat berganding bahu dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan melalui JPKK serta pihak pengurusan di kawasan ini. Seboleh-bolehnya kita akan pastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima bantuan yang disalurkan oleh kerajaan,” katanya.
Yakub berkata, melalui program sukan serta rekreasi seumpama ini dapat memupuk sikap kebersamaan serta toleransi sekali gus mewujudkan semangat silaturahim dalam kalangan penduduk di kawasan ini.
“Kita tekankan di sini kerjasama dalam kalangan masyarakat kampung sangat penting…Sebagai contoh masalah perparitan, penduduk kampung boleh terus mengadakan gotong-royong tanpa perlu kerajaan untuk membersihkannya,” katanya.