KOTA KINABALU: Semangat toleransi beragama harus dipelihara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara yang berbilang bangsa dan agama ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keupayaan rakyat Sabah untuk hidup bersama secara aman boleh menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan juga negara luar.
“Walaupun berbeza budaya dan agama, kita dikenali sebagai sebuah negeri dimana rakyatnya dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni. Keupayaan ini adalah penting dan kita harus mempertahankannya.
“Sabah mempunyai semangat toleransi beragama yang tinggi, dan ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya.
Joniston berkata demikian dalam perasmian majlis Sambutan Perayaan Hari Natal di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Sambutan Hari Krismas itu dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sabah, dan Persatuan Kristian Bumiputera Sabah.
Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, sambutan perayaan seperti Krismas merupakan platform penting untuk semua lapisan masyarakat berkumpul meraihkan semangat kekitaan.
“Ini juga menjadi tarikan bagi pelancong datang ke Sabah untuk menyaksikan sendiri keunikan masyarakat di negeri ini. Inilah konsep Keluarga Malaysia yang diperlukan oleh negara, khususnya di Sabah bagi memastikan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya direalisasikan dengan sebaik mungkin.
“Saya berharap kepimpinan negara kita akan terus menggalakkan perayaan pelbagai agama dan budaya untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara satu sama lain,” katanya.