TAWAU : Sabah mencatatkan seramai 1.004 juta ketibaan pelancong dalam dan luar negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) tersebut menunjukan seramai 396,584 pelancong antarabangsa manakala 607,371 adalah pelancong domestik.
Katanya, keadaan ini begitu memberangsangkan berikutan dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion.
“Sabah akan dapat mencapai sasaran seramai 3 juta pelancong tahun ini berdasarkan peningkatan peratusan kehadiran ke negeri ini.
“Berdasarkan statistik STB, seramai 25,684 pelancong dikenalpasti melawat Taman Laut Tun Sakaran yang sangat popular di Semporna membabitkan pelancong dari dalam dan luar negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
“Daripada jumlah itu terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan membabitkan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini hari ini.
Hajiji berkata, sehingga 15 Jun tahun ini terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China singgah ke daerah Tawau.
“Selaras dengan kepesatan sektor pelancongan di Sabah, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan untuk membangunkan sektor pelancongan di Tawau.
“Ini termasuk akan menaiktaraf beberapa kemudahan seperti Jeti Tawau yang dijangka akan membawa pelancong dari Tawau terus ke Semporna,” jelas Hajiji.
Dalam perkembangan berkaita, ketika berucap di Majlis Pecah Tanah tersebut Hajiji berkata, kerajaan negeri yakin pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.
“Pembinaan TICC itu tepat pada masanya, apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).
“Sudah tentu ia akan menjadi daya tarikan pelancongan baharu, kerajaan yakin ini akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta kehadiran pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya, pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara.
“Kerajaan negeri kini sedang bersiap sedia untuk merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek antara usaha mencipta lebih banyak lagi produk pelancongan baharu di daerah Tawau.
“Usaha ini akan diberi perhatian bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan,” katanya.