Sabah beri amaran tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP majlis sosial: Masidi

Masidi Manjun (Gambar fail)

KOTA KINABALU (Bernama): Kerajaan Sabah memberi amaran tindakan tegas akan diambil ke atas masyarakat atau individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjuran majlis sosial di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata peringatan serta amaran tindakan tegas itu susulan situasi semasa Covid-19 di Sabah yang menunjukkan peningkatan kes baharu positif semakin membimbangkan.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata pihak penguatkuasa tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000 kepada sesiapa yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

“Masyarakat atau individu yang mengadakan majlis sosial dan keramaian seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi serta sambutan hari lahir atau ulang tahun diingatkan supaya memberi kerjasama mematuhi SOP.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menyarankan supaya majlis-majlis seperti ini diadakan secara sederhana atau ditangguhkan buat sementara waktu,” menurutnya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri sekali lagi menegaskan untuk tidak membenarkan majlis sosial diadakan di mana-mana kawasan di Sabah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Bagi masyarakat di kawasan selain PKP dan PKPD pula, kerajaan negeri menggalakkan pendaftaran majlis menerusi aplikasi Sabah Trace bagi memudahkan pemantauan SOP oleh pihak penguatkuasa.

Sabah semalam melaporkan sebanyak 131 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif jangkitan itu di negeri itu setakat ini ialah 55,670 kes manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 70 orang dengan jumlah kumulatif 54,481.

SabahNewsToday

Leave a Reply