KOTA KINABALU : Sejumlah RM515,000 bantuan disalurkan kepada 103 sekolah dikenal pasti terjejas banjir baru-baru ini melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap sekolah menerima RM5,000 untuk menampung kos membersih serta memulihkan semula keadaan sekolah mereka.

Katanya, sehingga kini 100 sekolah rendah serta menengah menerima bantuan tersebut selepas terjejas banjir bulan lalu.
“Kita berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban disamping dapat membantu memastikan peralatan sekolah dapat berfungsi sepenuhnya.

“Kepada sekolah dikenal pasti mengalami kerosakan peralatan komputer akibat banjir disarankan memohon bantuan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH),” katanya di sini semalam.
Mohd Arifin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS berkata, selepas permohonan diterima kelulusan akan diberikan bagi memastikan peralatan komputer dapat kembali berfungsi sepenuhnya.
“Di bawah tugas-tugas khas, bantuan BISBAH ini memang peruntukan akan berikan setiap tahun kepada sekolah.
“Tapi apabila ada yang terjejas, misalnya komputer dan peralatan yang lain, boleh memohon dan maklumkan kepada TPNS,” jelas Mohd Arifin.

Mengenai usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai doktor perubatan dalam kalangan anak Sabah, Mohd Arifin berkata, pihaknya bersama Yayasan Sabah (YS), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Majlis Ugama Islam (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) serta Pejabat Tugas-tugas Khas komited menyediakan bantuan kepada pelajar terbabit.
“Sebagai contoh universiti di Mesir ramai anak-anak kita belajar di sana dalam pelbagai jurusan termasuk doktor perubatan. Selepas menamatkan pengajian mereka akan kembali bertugas di negeri ini.
“Kerajaan melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah akan memberi fokus utama kepada bidang perubatan ini agar pelajar ini dapat dibantu,” kata Mohd Arifin.
Pada majlis tersebut, seramai 69 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerima sumbangan TPNS.
Selain itu beberapa Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) masing-masing berjumlah RM8,750 dan RM20,000.