SANDAKAN : Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.02 juta pada tahun ini bagi pembangunan dan kemajuan sukan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata perbelanjaan itu termasuk digunakan untuk menjalankan kajian Sains Sukan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam pembangunan sukan dan atlet di negeri ini bagi memastikan mereka dapat bersinar ke peringkat antarabangsa.
“Pembangunan belia dan beliawanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam membantuk sahsiah masyarakat yang harmoni, bertoleransi dan bersatu-padu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Kompleks Sukan Sandakan di sini hari ini. Teks ucapan disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Datuk Ellron Angin.
Menurut beliau, pelaksanaan Hari Sukan Negara merupakan platform untuk menerapkan budaya mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Bersukan” selain menjadi wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional.
“Melalui pelaksanaan Hari Sukan Negara pada tahun ini adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat di negara ini dapat membudayakaan aktiviti sukan, rekreasi, kecergasan dan riadah dengan lebih aktif lagi.
“Teruskan budaya sihat ini dan pihak pimpinan negeri akan terus memberi sokongan dan galakan supaya aktiviti seumpama ini sentiasa diadakan di pelbagai peringkat,” jelasnya.
Lebih 20 acara sukan telah diadakan sepanjang Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah berlangsung termasuk 5km Fun Run, 25km Fun Ride, 1.5km Fun Walk, senamrobik, cabaran tabata, aerofithon, kayak, bola sepak, sukan rakyat, catur, tenis, explorace dan PUBG mobile.