UMS rai 19 kakitangan akademik melalui kenaikan pangkat dan gred

KOTA KINABALU : Seramai 19 kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat dan Kenaikan Gred, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 16 orang mendapat kenaikan pangkat melibatkan jawatan Profesor Madya, Pensyarah Perubatan (Tanpa Gelaran Profesor Madya) dan Pensyarah Kanan.

Kasim Mansor

Majlis tersebut turut meraikan tiga orang kakitangan akademik yang berjaya dalam kenaikan gred bagi kakitangan kontrak melibatkan jawatan Profesor Madya Perubatan (Pakar) dan Pensyarah Perubatan (Tanpa Gelaran Profesor Madya).

Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat dan Kenaikan Gred tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor.

Kasim berkata, majlis ini merupakan majlis khas yang diadakan bagi meraikan dan memberi pengiktirafan kepada kakitangan yang telah disahkan kenaikan pangkat dan kenaikan gred.

“Seperti yang kita sedia maklum, proses permohonan kenaikan pangkat kakitangan akademik adalah melalui sistem dalam talian dan dibuka sepanjang tahun.

“Selepas melalui proses perakuan oleh Ketua Jabatan dan penilaian di peringkat Jawatankuasa Tapisan dan Kesarjanaan Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik, seramai 16 kakitangan akademik yang layak menghadiri sesi temu duga kenaikan pangkat.

“Manakala tiga kakitangan akademik layak menghadiri sesi temu duga kenaikan gred bagi kakitangan kontrak,” jelasnya.

Tambah Kasim, tanggungjawab dan amanah jawatankuasa amatlah besar dalam memastikan pemilihan kakitangan bagi tujuan kenaikan pangkat dan kenaikan gred dibuat secara telus dan teratur.

“Oleh itu, jangan lupa untuk berterima kasih kepada Ketua Jabatan dan rakan-rakan setugas, kerana kita di UMS ini sentiasa bekerja secara berpasukan.

“Tiada kakitangan yang boleh mendabik dada menyatakan dia cemerlang atas usahanya sendiri sahaja dan saya mengharapkan pengiktirafan yang diterima ini dapat menyuntik semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi dan penuh iltizam,” katanya.

Beliau berkata jadilah kakitangan yang mempunyai integriti yang tinggi, penuh bertanggungjawab dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan tugas dengan sepenuh hati.