Keikhlasan PH bersama GRS sokong Kerajaan Negeri perlu diteruskan pada PRN akan datang – Masiung Banah

SINDUMIN: Keikhlasan Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyokong Kerajaan Negeri sedia ada perlu dikekalkan kepada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah berkata, PH sudah terbukti jujur kepada GRS ketika mereka menyelamatkan dalam pergolakan politik ‘Langkah Kinabalu’ sekali gus menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, setakat ini belum ada keputusan rasmi namun ini merupakan pandangan peribadinya berkaitan kerjasama parti menjelang PRN yang akan datang.

“Kalau tanya saya secara peribadi bukan mewakili parti..saya lebih selesa jika GRS meneruskan bekerjasama dengan PH.

“Sebab ujian tersebut sudah terbukti….PH lah yang bersama-sama dengan GRS untuk menyelamatkan kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Waktu itu mereka berada di luar. Kalau mereka tidak mempunyai hati untuk kepentingan rakyat negeri Sabah mungkin PH sudah berada di sebelah sana untuk menjatuhkan kepimpinan GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program serentak tiga sayap Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob.

Masiung berkata, apa salahnya GRS meneruskan kerjasama baik ini dalam PRN akan datang kerana PH sudah terbukti jujur bersama-sama kerajaan yang sedia ada.

“Apa yang pasti melalui firasat saya tidak akan ada single parti untuk menghadapi PRN akan datang. Mereka mesti mencari rakan kerjasama untuk menang dalam pilihan raya kelak.

“Namun keputusan berkaitan kerjasama ini terpulanglah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menentukan bila tiba masanya,” kata Masiung.