Pembinaan PPU Darau akan tingkatkan kualiti bekalan elektrik di Inanam

KOTA KINABALU: Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Darau akan meningkatkan kualiti bekalan elektrik di kawasan Inanam dan sekitarnya khusunya untuk industri.

Pengerusi Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata projek tersebut yang dimulakan sejak Mei lepas dijangka siap pada Januari 2025 dengan kos pembinaan RM22.8 juta.

Madius di Majlis Pecah Tanah pembinaan PPU Darau dekat sini, hari ini.

Katanya pelaksanaan pembinaan projek ini sudah lama tertangguh yang sebelum ini kos dibawah Kementerian Kewangan Persekutuan dan selepas beberapa cabaran, SESB menggunakan kewangan sendiri untuk melaksanakan projek ini.

“Pelaksanaan projek ini walaupun kecil tetapi impaknya tinggi bagi memastikan kualiti bekalan elektrik dari gangguan akibat beban utama khususnya membabitkan kawasan Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah pembinaan PPU Darau dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir. Ts Mohd Yaakob Jaafar.

Madius berkata pembinaan PPU Darau ini secara langsung sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan menggalakkan sektor perindustrian setempat di kawasan ini.

Beliau berkata SESB juga merancang untuk melaksanakan projek yang sama PPU Luyang dengan cadangan tapak berhampiran Kelab Golf Sabah.

Menurutnya usaha ini merupakan antara pendekatan oleh SESB untuk mengurangkan gangguan bekalan elektrik dengan menambah pembinaan PPU di sesebuah kawasan.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata pembinaan PPU Darau ini adalah bagi memantap keupayaan dan keberkesanan pengagihan kuasa serta melindungi sistem kuasa elektrik kawasan Inanam dan sekitar.

Katanya antara objektif projek ini dilaksanakan adalah menyediakan kapasiti tambahan bagi menampung load demand bekalan elektrik baru di kawasan Inanam, Kolombong dan sekitarnya selain memperkukuhkan sistem pembahagian 11kV di kawasan-kawasan ini.

Selain itu, katanya, ia juga bagi memindahkan sumber beban talian-talian penyuap 11kV sedia ada daripada PMU Inanam ke PPU Darau.

“Ini adalah untuk mengelakkan masalah overloading pada Alatubah 66/11kV di PMU Inanam,” kata Mohd Yaakob.