MEMBAKUT: Daerah ini yang dinaik taraf menjadi daerah penuh sejak 30 Mac tahun lalu bakal mendapat sebuah dewan masyarakat yang baharu pada tahun depan.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kemudahan itu perlu memandangkan dewan sedia ada ketika ini sudah usang.
Berikutan itu, katanya beliau meluluskan pembinaan dewan masyarakat yang baharu untuk daerah ini bersempena kenaikan tarafnya daripada daerah kecil kepada daerah penuh.
“Saya memberi jaminan Membakut akan mendapat sebuah dewan masyarakat yang baharu tahun depan. Kosnya akan ditentukan Pejabat Daerah dan jabatan teknikal,” katanya pada Majlis Pelancaran Daerah Penuh Membakut, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Mohd Ariffin Arif dan Timbalan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin.
Sempena pelancaran itu, Hajiji menandatangani plak peringatan Membakut dinaik taraf ke daerah penuh di Pejabat Daerah Membakut.
Sebelum ini, Membakut adalah sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Beaufort, sebelum dicadang dijadikan sebagai daerah penuh yang merangkumi kawasan Parlimen Kimanis ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Kerajaan kemudian mewartakan Membakut sebagai daerah penuh pada 30 Mac 2022 yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.