GRS mahu menang pilihan raya akan datang bagi teruskan pembangunan Sabah – Hajiji

MEMBAKUT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menetapkan sasaran untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang bagi meneruskan pembangunan Sabah.

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS ketika mengulas persiapan GRS dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam menghadapi PRN.

Hajiji Noor

“Kita merasa bangga Gagasan Rakyat mampu menggerakkan jenteranya dengan begitu cekap.

“Ini petanda baik bahawa Gagasan Rakyat dan GRS mampu melakukan yang terbaik pada pilihan raya akan datang.

“GRS mahu memenangi pilihan raya kerana kita mahu meneruskan pembangunan Sabah,” katanya pada pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Membakut, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Membakut Datuk Mohd Ariffin Arif.

Hajiji di sambut meriah oleh perwakilan di Bahagian Membakut.

Hajiji berkata, walaupun baru berumur tujuh bulan, Gagasan Rakyat berjaya menubuhkan bahagian di 73 kawasan DUN di Sabah dan satu di Labuan.

Presiden Gagasan itu berkata, beliau juga gembira melihat Gagasan Rakyat diterima baik rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan mewakili mereka.

“Sebagai parti berbilang kaum, Gagasan Rakyat akan mengutamakan politik pembangunan dan tempatan.

“Ini adalah landasan terbaik dalam perjuangan kita demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata Gagasan Rakyat dibentuk bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah sambil bekerjasama dengan parti tempatan lain dalam GRS.