RM22.3 juta perkasa pekebun kecil RISDA Sabah 2026

TENOM: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah.

Ini sepanjang tahun 2026 menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka secara menyeluruh.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, RISDA Daerah Keningau menerima peruntukan RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.

Menurut beliau, peruntukan tersebut melibatkan tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran serta Program Pengembangan dan Perancangan.

“Program Pekebun Kecil Makmur anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA ini bertujuan memastikan pekebun kecil menerima maklumat terkini yang bermanfaat bagi meningkatkan pulangan serta menyokong pembangunan desa yang mampan,” katanya di sini hari ini.

Jamawi berkata, komuniti pekebun kecil perlu terus diberi galakan dan sokongan melalui inisiatif baharu bagi mewujudkan peluang penambahan pendapatan, khususnya dalam situasi harga getah dunia yang semakin mencabar.

“Usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi keutamaan kerajaan supaya pekebun kecil tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil getah,” katanya.

Mengulas cabaran sektor getah, beliau berkata Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang di Sabah tidak lagi diusahakan, sekali gus menyumbang kepada penurunan pengeluaran getah asli negara.

Sehubungan itu, Jamawi memaklumkan RISDA Sabah turut menerima peruntukan RM1.5 juta khusus bagi meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil melalui pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk Program Pemulihan Getah Terbiar, Program Pengeluaran Hasil Getah Matang serta Insentif Pengeluaran Hasil Getah (Lateks).

Menurutnya, pengeluaran lateks mampu memberikan pulangan lebih baik berbanding hasil skrap, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Dalam pada itu, beliau menyeru pekebun kecil agar terus bekerjasama dengan RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi memastikan kebun getah diusahakan secara lebih produktif dan mampan.