KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Ewon Benedick menggesa lebih banyak syarikat di negeri itu meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bagi membolehkan produk dan perkhidmatan tempatan menembusi pasaran global.
Menurut Ewon, data Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade) Singapura menunjukkan hanya 261 syarikat dari Sabah berdaftar daripada 12,742 syarikat Malaysia setakat Disember 2025.
“Angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pembangunan produk dan perkhidmatan tempatan agar memenuhi kehendak pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata pematuhan kepada piawaian seperti pensijilan Halal, MESTI dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merupakan antara keutamaan kementeriannya dalam memperkasa daya saing usahawan Sabah.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata aspek pembungkusan turut dikenal pasti sebagai faktor penting dalam meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan.
“Maklum balas peserta program bimbingan menunjukkan peningkatan jualan selepas pembungkusan ditambah baik, selaras dengan keperluan dan cita rasa pengguna,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya akan terus menyediakan dasar dan inisiatif sokongan, termasuk bantuan teknikal dan bimbingan, bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran luar negara.
Menurutnya, selaras dengan Wawasan Sabah First, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi fokus utama melalui peningkatan kapasiti pengeluaran serta pemantapan kualiti dan standard produk.
Ewon berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS), semalam.
Beliau berharap pengiktirafan AKIS dapat menjadi pemangkin kepada syarikat tempatan untuk mengekalkan inovasi dan bersaing di peringkat antarabangsa, seiring aspirasi menjadikan Sabah sebuah negeri perindustrian menjelang 2040.
