SANDAKAN: Seramai 14 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Sandakan yang dikoordinasikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), kelmarin.
Daripada jumlah itu, 13 lelaki dan wanita dewasa membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai jabatan dan agensi itu dilaksanakan di kawasan bandar, penempatan setinggan, pinggir bandar dan kampung sekitar daerah ini.
Selain menahan PATI, operasi turut menyaksikan pemotongan sambungan haram elektrik membabitkan kerugian dianggarkan RM310,000 serta penguatkuasaan terhadap sambungan paip air haram bernilai RM27,215.
Dalam operasi sama, polis trafik mengeluarkan 137 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316 serta mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,200.
Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) turut merampas peralatan penjaja tidak berlesen dan rokok tidak bercukai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6,398.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, berkata operasi itu bertujuan membanteras penyeludupan, mengekang kemasukan PATI serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Beliau menegaskan ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu di daerah ESS Zone selaras dengan prinsip “Tiada Hari Tanpa Operasi”.
