Sabah peruntuk RM98.06 juta untuk belia dan sukan tahun ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif bagi tahun ini, sebagai usaha memperkukuh pembangunan belia dan kemajuan sukan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan, RM16.75 juta disalurkan khusus untuk pembangunan modal insan belia serta pemberian geran kepada persatuan belia, manakala RM27.21 juta diperuntukkan bagi pembangunan sektor sukan.

Menurut beliau, peruntukan itu mencerminkan keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan belia sebagai aset strategik dan barisan kepimpinan masa depan Sabah.

Berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 di sini malam ini, Hajiji turut mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah pada tahun ini.

Katanya, tabung berkenaan yang kini dalam peringkat perancangan akan menyediakan bantuan perubatan dan sokongan peralatan kepada bekas atlet negara dan negeri Sabah yang berdepan masalah kesihatan, kecederaan atau keperluan bantuan lain.

“Bantuan ini bertujuan melengkapkan sokongan sedia ada termasuk daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), selain meringankan beban kewangan atlet yang pernah menyumbang kepada pencapaian sukan Sabah dan negara,” katanya.

Hajiji berkata pembangunan sukan kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri, termasuk melalui peningkatan insentif kemenangan kepada atlet yang memenangi pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet muda supaya tidak mengabaikan pencapaian akademik walaupun aktif dalam bidang sukan.

“Kerajaan mahu atlet Sabah bukan sahaja berjaya dalam arena sukan, tetapi juga memiliki pendidikan dan keupayaan intelektual yang baik,” katanya.