KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta pada tahun depan bagi mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan dan pemeliharaan warisan budaya di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukkan itu bagi memastikan warisan budaya dan kesenian negeri ini terus kekal dan terpelihara.
Katanya, ini sekali gus memastikan khazanah budaya dapat dinikmati generasi masa ini dan akan datang.
“Usaha ini merupakan pelaburan yang penting demi masa depan dan akan membawa perubahan besar kepada pelestarian budaya kita, sekali gus melihat Sabah terus kaya dengan budaya dan tradisinya.
“Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada Sekolah Adat dan memastikan keperluan pendidikan, infrastruktur, dan program-program sekolah ini sentiasa diutamakan,” katanya.
Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, beliau yakin, melalui pengenalan 19 mata pelajaran berkaitan adat, bahasa, dan seni tradisional, Sekolah Adat menyediakan platform untuk generasi muda mendalami akar budaya mereka.
“Ini bukan sekadar proses pendidikan, tetapi satu usaha menyemai nilai dan jati diri yang akan menentukan kesinambungan budaya kita untuk generasi akan datang.
“Satu lagi inisiatif penting yang diketengahkan dalam Sekolah Adat ialah Makmal Hidup Sekolah Adat Anak Negeri Sabah,” jelas Hajiji.
Menurutnya, ini merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Pengajian Orang Asal Borneo.
“Kewujudan makmal ini amat baik kerana antara tujuannya ialah memelihara Adat dan Bahasa, Pemberdayaan Komuniti dan Pengiktirafan Global.
“Kerajaan negeri menyambut baik usaha itu sebagai salah satu pendekatan strategik untuk memperkasakan warisan budaya dan bahasa kita,” kata Hajiji.
Menurutnya, sebagai tambahan, kandungan Makmal Hidup akan diselitkan dalam penerbitan buku teks untuk memberikan dimensi tambahan kepada pembelajaran, menghubungkan adat, bahasa, dan seni dengan pendekatan pendidikan moden.