LABUAN : Sejumlah RM1 juta diperuntukan bagi menyelenggara dan menaik taraf prasarana Taman Burung Labuan termasuk produk pelancongan yang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan itu bagi memperkasakan industri pelancongan Labuan termasuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana Taman Burung Labuan.
Katanya, ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mempastikan industri pelancongan diberi perhatian yang sewajarnya.
“Peruntukan yang disalurkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dilihat mampu meningkatkan prasarana industri pelancongan di Labuan.
“Dalam masa sama, JWP akan menganjurkan Program Khas ‘Borneo Flora Festival’ akan diadakan pada Julai tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni Kampung Kilan, Labuan menjuarai Anugerah Aspirasi Desa Madani 2024 kategori Kampung Tradisional peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini kelmarin.
Zaliha berkata, program ini mampu menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung luar untuk menyaksikan Borneo Flora Festival datang ke Labuan.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Zaliha turut meninjau Projek Tanaman KRT Progresif Kilan Pulau Akar bernilai RM 50,000.
“Ini meliputi tiga projek Tanaman Limau Kasturi, Cendawan dan Kebun Komuniti.
“Kita menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tiga kampung memenangi Anugerah Aspirasi Desa Madani kategori Kampung Tradisional masing masing bernilai RM5,000,” jelas Zaliha.
Menurutnya, Kampung Kilan Labuan menerima RM3,000 kepada kampung Patau Patau 1 (naib johan) dan RM2,000 kepada Kampung Belukut (tempat ketiga).
“Sumbangan ini sumbangan sebagai galakan meningkatkan aktiviti serta pendapatan komuniti setempat,” kata Zaliha.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Sukuran Taib Ketua Kampung Kilan, Hassan Kapal.