KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memandang serius kes penularan video yang heboh diperkatakan terkait dengan beberapa individu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tertentu di Sabah.
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, sehingga kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudahmemulakan siasatan sekali gus memanggil beberapa pihak yang terlibat.
Katanya, KEADILAN Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama serta sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang mereka bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan Madani tegas dalam membenteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
“Pihak berkuasa serta Institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Razeef berkata, sehubungan itu biarlah Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan serta perlaksanaan projek dan aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.
“Kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur.
“Kita yakin pengundi di negeri ini bijaksana dan akan memilih pimpinan berintegriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus biarlah mereka memilih secara demokrasi,” jelas Razeef.