RM1 juta diluluskan tangani isu hakisan pantai Tanjung Aru Labuan – Dr Zaliha

LABUAN : Sebanyak RM1 juta diluluskan bagi menangani isu hakisan di kawasan pantai di Tanjung Aru Nelayan, di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, peruntukan ini meliputi daripada Jabatan Wilayah Persekutuan berjumlaj RM200,000 manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperoleh kelulusan sebanyak RM800,000.

Dr Zaliha melawat hakisan pantai Tanjung Aru Nelayan Labuan.

“Peruntukkan berjumlah RM800,000 daripada JPS Labuan bagi membina benteng hakisan pantai di Tanjung Aru manakala kelulusan RM200,000 disalurkan kepada Perbadanan Labuan.

“Ini bagi membantu menyelesaikan isu hakisan yang kerap berlaku di kawasan berhampiran gerai peniaga di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak hakisan pantai Tanjung Aru Nelayan sempena lawatan kerja rasmi dua harinya ke Labuan.

Dr Zaliha berkata, masalah hakisan pantai berkenaan dikenalpasti menerusi Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran pada  2015.

“Hakisan pantai yang berlaku sejak beberapa tahun lalu menyebabkan hakisan sepanjang satu kilometer sehingga menjejaskan tanah milik penduduk berdekatan kawasan pantai termasuk peniaga kecil kecilan yang berniaga di pesisir pantai ini.

“Sebelum ini, penduduk serta peniaga berusaha membina dinding penahan sementara daripada batu dan simen namun malangnya, ia rosak ketika ribut kencang melanda,” jelas Dr Zaliha.

Menurutnya, dengan adanya peruntukan ini peniaga tempatan berniaga di kawasan tersebut boleh menjalankan perniagaan dengan rasa lebih selamat.

“Kita melihat kawasan Tanjung Aru Nelayan ini berpotensi dimajukan sebagai satu daya tarikan pelancong dalam dan luar datang di sini kerana terdapat gerai makanan tradisonal yang diusahakan penduduk kampung,” tambah Dr Zaliha.