LABUAN: Program Wacana Ilmu sempena 50 tahun Wilayah Persekutuan bertemakan Komuniti Digital Pemangkin Masyarakat MADANI mampu meningkatkan literasi digital disamping melahirkan pekerja mahir dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, program itu juga membuka peluang kerjaya anak-anak Labuan dalam perdagangan dan industri.
“Usaha ini adalah selari dengan keperluan global Industri Revolusi 4.0 masa kin yang menekankan kepada teknologi dan inovasi selain menyediakan platform untuk berbincang dan berkongsi idea serta membolehkan peserta melibatkan diri dalam dialog konstruktif dan memperluaskan rangkaian professional mereka,” katanya semasa berucap melancarkan program tersebut di Dewan Utama Sekolah Antarabangsa Labuan, dekat sini, semalam.
Beliau berharap agar program itu dapat melahirkan masyarakat Labuan yang celik teknologi maklumat (IT) disamping menjadi tanda aras kepada pelaksanaan ekonomi digital MADANI di negara ini.
“Malaysia MADANI memerlukan genarasi peneraju berpendidikan agar standing dengan negara maju yang menjadikan elemen kteativiti dan inovasi sebagai elemen penting dalam berhadapan dengan cabaran pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (vuca),” katanya.
Pada majlis itu, Dr Zaliha turut melakukan prapelancaran BIMP-EAGA MADANI Wallet yang merupakan sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan B40 di Labuan menjana pendapatan tambahan dalam bentuk aset digital patuh syariah.