KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Sabah serta Sarawak dijangka mengalami ribut petir serta hujan pada waktu petang hingga awal malam bermula hari ini sehingga 6 Feb nanti, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Twitter berkata, kawasan terlibat ialah barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta pantai barat Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang.
“Cuaca lembap dijangka berlaku di kebanyakan tempat dengan hujan pada sebelah pagi di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah, manakala cuaca panas dan kering dijangka berterusan di negeri-negeri utara Semenanjung.
“Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan dalam tempoh 2 hingga 6 Feb 2022,” menurut kenyataan itu.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.mydan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.