Bersama-sama kerajaan terus bangunkan Negeri Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengajak masyarakat Cina untuk berganding bahu bagi membangunkan negeri sekali gus memastikan kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, dua tahun kebelakangan ini memang sukar berikutan bagi penularan pandemik COVID-19 namun rakyat harus menerimanya dengan tabah.

“Semoga Tahun Harimau ini akan menjadikan negeri kita terus maju dan rakyat hidup aman dan harmoni,” katanya.

Beliau dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang disiarkan di RTM.

Hajiji mengulangi bahawa Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sentiasa menyokong dan menggalakkan masyarakat Cina di negeri itu untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan,  termasuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Tahun Baharu Cina juga disambut bersama oleh rakyat dari kaum dan agama lain di Sabah, ciri unik negeri ini dan model terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia, katanya.

Ketua Menteri turut menasihati orang ramai di negeri ini supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di masa perayaan ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga saya, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina,” katanya.