Ramai Sertai Warisan Secara Sukarela, Yakin Kepimpinan Shafie Apdal – Harun Ismail

KOTA KINABALU: Gelombang sokongan terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) semakin kuat apabila ramai penduduk di Pitas dan kawasan sekitar memilih untuk menyertai parti itu secara sukarela, tanpa sebarang paksaan atau dorongan luar.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Harun Ismail, berkata langkah itu dibuat selepas ramai mula yakin terhadap kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang dilihat konsisten memperjuangkan suara rakyat Sabah.

“Mereka masuk Warisan bukan kerana janji manis atau imbuhan politik. Semuanya atas kerelaan sendiri — sebab mereka nampak keikhlasan perjuangan Warisan membela rakyat,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Harun menjelaskan, keyakinan rakyat terhadap Warisan semakin ketara terutama di kawasan luar bandar apabila ramai mula memahami pentingnya memperkukuh parti tempatan Sabah yang benar-benar mengutamakan masa depan negeri sendiri.

“Shafie bukan orang luar. Dia anak Sabah yang faham perit getir hidup rakyat kampung. Sebab itu ramai percaya dengan perjuangan beliau,” tambahnya.

Menurut Harun lagi, sokongan terhadap Warisan kini bukan hanya datang daripada penyokong lama, tetapi turut melibatkan golongan muda yang semakin lantang menyuarakan hasrat mahu melihat perubahan politik Sabah.

“Anak muda hari ini lebih berani bersuara. Mereka mahu perubahan yang datang daripada Sabah sendiri, bukan dikawal dari luar negeri ini,” katanya.

Beliau turut optimis bahawa gelombang baharu ini akan memberi kelebihan besar kepada Warisan menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Kalau semangat ini berterusan, Warisan akan terus jadi suara utama rakyat Sabah. Ini bukan soal parti semata-mata, tapi soal masa depan negeri kita,” tegasnya.

Fenomena penyertaan baharu ini dianggap sebagai tanda kebangkitan semula Warisan dalam politik Sabah, sekali gus mencerminkan kesedaran rakyat untuk bersama parti tempatan yang memperjuangkan hak dan kepentingan mereka sendiri.