KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, tampil menyeru ahli dan penyokong parti itu supaya terus berdiri teguh bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Ini sekali gus demi memastikan kestabilan politik dan kemajuan negeri terus berkekalan.
Menurutnya, walaupun beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, fokus utama kini ialah mengekalkan kesinambungan pembangunan yang telah terbukti memberi manfaat kepada rakyat sejak GRS mentadbir Sabah pada 2020.
“Lima tahun pentadbiran GRS membuktikan kestabilan membawa kemajuan kepada Sabah. Rakyat tidak boleh mempertaruhkan masa depan negeri ini kepada ketidaktentuan baharu,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Robert mengingatkan bahawa sebelum GRS dibentuk, Sabah sering dilanda krisis politik dan pertukaran kerajaan, namun keadaan berubah apabila parti-parti tempatan bersatu di bawah satu gagasan.
Katanya, kestabilan inilah yang menjadi kunci kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta kejayaan menarik pelaburan besar ke negeri ini.
Beliau menegaskan, kestabilan politik membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, bukan berpolitik setiap masa.
“Ini bukti kepimpinan Hajiji yang matang, berjiwa rakyat dan tahu hala tuju negeri ini,” katanya.
Dalam masa sama, Robert menolak dakwaan kononnya STAR disingkir daripada GRS.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa keputusan keluar daripada gabungan itu dibuat secara sukarela oleh kepimpinan STAR sendiri.
“GRS tidak membuang STAR. Ramai ahli akar umbi STAR masih menyokong dasar-dasar kerajaan GRS kerana mereka nampak hasilnya,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif kerajaan negeri memperkasa pembangunan luar bandar menerusi projek kecil luar bandar (MRP), bantuan pertanian, serta naik taraf jalan kampung, bekalan air dan elektrik yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat pedalaman.
“Di kawasan seperti Bingkor dan pedalaman Keningau, banyak projek berjaya dilaksanakan hasil kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah kerajaan GRS,” katanya sambil menambah bahawa rakyat kini lebih bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini.
Robert yakin majoriti rakyat Bingkor dan penyokong STAR yang cintakan kestabilan akan terus bersama GRS.
“Sabah perlu terus maju di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji. Kestabilan bukan sekadar slogan — ia masa depan untuk semua rakyat Sabah,” tegasnya.
