Rakyat Sabah Mesti Bersatu Cipra Nasib Politik Sendiri – Hajiji

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, adalah penting untuk rakyat bersatu supaya Sabah boleh menjadi kuat tanpa perlu bergantung kepada gergasi politik lain.

Atas sebab itulah, saya menyahut cabaran untuk mengumpulkan pemimpin Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Beliau berkata, objektif utama penubuhan GRS adalah untuk semua parti tempatan di Sabah bersatu di bawah satu bumbung.

Katanya, bukan satu tugas mudah untuk membawa pemimpin ke dalam GRS seperti Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO), Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP).

Selain itu  Datuk Seri Dr .Jeffrey Kitingan (Star), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (PBS) dan kini dua lagi iaitu Datuk Chin Su Phin (LDP) dan Tan Sri Liew Yun Fah (Parti Harapan).

“Terdapat banyak halangan dan cabaran tetapi niat saya untuk mengumpulkan semua pemimpin ini adalah ikhlas. Saya mahu Sabah maju dan dihormati,” katanya.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS mengingatkan politik adalah dinamik dan boleh berubah mengikut masa dan keadaan yang menyaksikan Sabah bertukar kerajaan beberapa kali bermula dari USNO, Berjaya, PBS, BN, Warisan, Bersatu dan kini GRS.

Hajiji bertukar emosi apabila mengenangkan penglibatannya dalam politik yang bermula di USNO pada 1990 apabila beliau dipilih sendiri oleh Presiden USNO ketika itu Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun untuk bertanding di Sulaman.

“Saya berada dalam perkhidmatan awam dan saya tidak akan pernah terfikir untuk menjadi ahli politik apa yang USNO berada dalam pembangkang ketika itu.

“Saya tahu bukan mudah untuk menjadi ADUN pembangkang tetapi selepas berfikir selama beberapa minggu saya menerima dan menang,” katanya.

Beliau menyifatkan kemenangannya atas perjuangan USNO yang dekat di hati rakyat.

“Di situlah perjuangan politik saya bermula. Sebab itu saya tidak teragak-agak apabila dijemput Tan Sri Pandikar untuk merasmikan perasmian Wisma USNO malam ini.

“Saya datang kerana mengingati dan menghormati semua yang telah USNO lakukan untuk saya,” katanya .

Hajiji menasihatkan ahli dan penyokong USNO untuk terus berdiri di belakang Pandikar Amin dalam usaha membina semula parti untuk menjadi kuat dalam GRS.

Kemudian, Hajiji diiringi Pandikar Amin menandatangani plak peringatan sebelum melawat bangunan Wisma USNO.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi USNO, ADUN UMNO Usukan, Datuk Salleh Tun Said, Ketua GRS Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego dan pimpinan GRS.