TUARAN: Umat Islam disaran agar terus bersatu padu serta mengukuhkan kerjasama dalam menyambut bulan Ramadan Al-Kareem.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara ini penting khususnya di kalangan rakyat berbilang kaum, kerajaan dapat merancang, membangun dan memajukan negeri ini.
“Perpecahan hanya akan merugikan kita. Untuk maju ke hadapan dan dihormati, kita mesti bersatu padu dan bekerjasama. Gunakan bulan Ramadan ini untuk kukuhkan perpaduan dan persefahaman,” katanya di sini, hari ini.
Hajiji merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sejak menyandang jawatan Ketua Menteri, kesibukan tugas mentadbir negeri menyebabkan beliau mempunyai masa yang terhad untuk bersama rakyat di kawasannya.
“Saya amat senang hati kerana dapat bertemu dengan rakyat di Kampung Sabandar dan berbuka puasa bersama dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
Selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Haji Abd Razak Sabandar, Hajiji turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada seramai 77 orang asnaf, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal miskin dari kawasan Sabandar.