SEMPORNA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Air Semporna berjaya menyelamatkan seorang lelaki selepas botnya didapati karam akibat dipukul ombak di sini hari ini.
Ketua BBP Air Semporna, Abdul Kadir Ab. Halalan berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 petang di mana kejadian berlaku di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air, Semporna.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.11 petang dan sepasukan enam anggota diketuai beliau sendiri bergegas ke lokasi.
“Setibanya kami di sana, kami mendapati sebuah bot karam dipukul ombak di hadapan BBP Air Semporna dan mendapati seorang mangsa lelaki terlibat.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan mangsa yang dibawa naik ke atas bot Kevlar KCB-11 Bomba,” katanya di sini hari ini.
Abdul Kadir berkata, bot mangsa ditarik ke pesisiran pantai sekali gus mengesahkan mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat.
Operasi ditamatkan pada jam 2.38 petang tadi.