KUDAT: Lembaga Bandaran Kudat (LBK) perlu mengekalkan kecemerlangannya antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik di seluruh negara.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, LBK merupakan penerima Anugerah Sijil Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPBPBT) dengan meraih lima bintang dengan memenangi tempat ke-3 kategori daerah seluruh negara.
Katanya, disamping itu LBK penerima anugerah PBT terbaik bagi kriteria pengurusan dan PBT terbaik bagi kriteria pengurusan pelanggan.
“LBK juga berada di kedudukan ke-33 di Malaysia dan pertama di Sabah dan pernah menjadi PBT terbaik kriteria penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (SPBPBT) serta antara lima terbaik di Malaysia menerima Anugerah Apresiasi Khas 2022, Bandar Keluarga Bahagia Kudat.
“Kejayaan LBK ini adalah sesuatu yang membanggakan khususnya kepada negeri Sabah.
“Anugerah besar yang diterima oleh LBK itu perlu menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini kerana mampu bersaing dengan PBT yang lebih maju di negeri lain. Saya berharap ahli majlis LBK perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan pencapaian yang telah dikecapi sebelum ini,” katanya.
Joachim merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, ahli majlis yang dilantik perlu mempunyai mentaliti berasaskan perniagaan supaya mereka dapat membantu LBK menjana pendapatan yang lebih.
“Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, tetapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di Kudat.
“Saya berharap ahli-ahli majlis LBK akan terus komited, amanah serta bekerjasama dalam menjalankan tugas selama tempoh masa dua tahun ini,” katanya.