Rahman Dahlan letak jawatan pengerusi Lembaga Pengarah UMS

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Abdul Rahman Dahlan meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau adalah pemimpin Umno terbaharu yang berundur daripada jawatan lantikan kerajaan, dalam laporan Umno Online hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata, ia selaras dengan ketetapan yang sudah diputuskan di dalam MKT UMNO pada 3 Ogos lepas dan sebagai Ahli MKT UMNO, beliau patuh dan setia dengan ketetapan parti.

“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta-merta,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya di universiti itu.

Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kota Belud, dilantik ke jawatan itu pada 3 Februari lalu.

– BERNAMA