LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah selepas memiliki lebih dua kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM85,048.00 dalam satu serbuan ‘OP Tapis’ di Jalan Pantai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 3.20 petang itu adalah hasil daripada risikan serta maklumat orang awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.
Katanya, ketika pemerihatian polis mendapati ketia-tiga suspek berada dalam keadaan mencurigakan sedang melalui lorong bangunan sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas mereka.
“Polis menjalankan tugas ‘Op Tapis’ di lokasi kejadian kemudiannya terpqksa bergelut dengan ketiga-tiga suspek selepas mereka cuba melarikan diri berjaya menahan mereka.
“Hasil pemeriksaan mendapati, beg plastik yang dipegang salah seorang suspek mengandungi dua bungkusan plastik lutsinar dipercayai ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2,130.48 gram,” katanya dalam sidang media hari ini.
Rohan Shah berkata, semua suspek berumur 18 hingga 31 tahun itu juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati salah seorang daripada mereka adalah positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya.
Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 KPJ dan akan direman selama tujuh hari bermula hari ini (Sabtu) manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Rohan Shah berkata, bekalan syabu yang dirampas ini mampu menampung penggunaan seramai 10,695 orang penagih dadah di daerah ini.
Sehingga kini, berdasarkan rekod IPD Lahad Datu daripada Januari hingga Julai tahun ini, seramai 182 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan berkaitan dadah.