Warga emas didakwa tumbuk, ugut isteri guna parang

BEAUFORT: Polis sedang memburu seorang warga emas didakwa menumbuk serta mengugut isterinya dengan menggunakan parang akibat cemburu, di kediaman mereka di Kampung Siaun, Menumbok, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 63 tahun dikatakan menumbuk pinggang isterinya yang berumur 48 tahun kerana mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata wanita itu mengadu sakit pada bahagian pinggang kiri serta tidak mampu berjalan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu untuk membuat laporan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati suspek didakwa mengugut mahu membunuh isterinya dan mengacu parang ke leher mangsa.

“Suspek kemudian didakwa menumbuk bahagian pinggang kiri mangsa. Punca kejadian dikatakan suspek cemburu kerana mengesyaki isteri ada hubungan dengan lelaki lain,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa turut mendakwa ia bukan kali pertama suspek bertindak ganas terhadapnya.

“Bagaimanapun, keterangan lanjut akan diambil selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital.

“Siasatan polis juga mendapati suspek tidak lagi berada di rumah dan dipercayai melarikan diri.

“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada kes ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan membabitkan keganasan rumah tangga,” katanya.