Puteri UMNO Sepanggar bantu mangsa kebakaran

KOTA KINABALU: Pergerakan Puteri UMNO Sepanggar membantu menyalurkan sumbangan kepada 27 keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Menggorok Kolombong.

Ketuanya, Datuk Dr Fadillah Sabri berkata, sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung mangsa kebakaran sementara menunggu bantuan disalurkan oleh pihak berkuasa.

“Atas dasar kemanusiaan serta persahabatan kepada mereka ditimpa musibah, saya bersama rakan kepimpinan Puteri UMNO Sepanggar hadir membantu serba sedikit keperluan harian mangsa kebakaran ketika berlaku subuh kelmarin di Kg Menggorok, Kolombong.

“Kami anggarkan lebih 27 keluarga tinggal sehelai sepinggang masih memerlukan bantuan. Kepada mereka yang mempunyai kelebihan, diminta tampil menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran ini, katanya.

Dr Fadillah memeriksa barangan keperluan asas untuk disumbangkan kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Dr Fadillah berkata, untuk rekod dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kebakaran ini mengorbankan satu nyawa sekali gus memerlukan keperihatian masyarakat di luar sana tampil menyalurkan bantuan.

Puteri Sepanggar melihat keadaan rumah yang terbakar baru-baru ini.

“Umum mengetahui semua mangsa terlibat dalam kebakaran ini tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu kerana tidak ada barang yang sempat diselamatkan disebabkan kebakaran subuh kelmarin,” katanya.

Dr Fadillah menasihati agar mangsa kebakaran sentiasa tabah menghadapi musibah sekali gus bersama-sama menjaga kesihatan ketika berada di Pusat Penempatan Sementara.