31 C
Kota Kinabalu
Sunday, May 22, 2022

UMNO akur keputusan Sultan Johor

KUALA LUMPUR: UMNO akur dengan apa juga keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung soal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas wujud desas-desus kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO tidak sekali-kali akan membelakangkan Perlembagaan Johor dan keputusan Sultan Ibrahim Iskandar, terutama dalam soal pembubaran DUN.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh mendahului kuasa Perlembagaan Johor. Titah dan perkenan Sultan Johor adalah muktamad sama ada baginda bersetuju atau sebaliknya selepas mendengar nasihat daripada Ketua Eksekutif iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Sebagai parti komponen kerajaan Johor, apa saja keputusan dan perkenan Tuanku, kita akan ikuti, termasuk juga proses politik digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya memetik laporan Berita Harian dalam program bicara disiarkan secara langsung menerusi Facebook, malam tadi.

Hasni sebelum ini dilaporkan akan menghadap Sultan Ibrahim Iskandar, minggu hadapan bagi memohon perkenan pembubaran DUN Johor,

Beliau juga dijadual mengadakan sidang media khas esok selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO negeri, dipercayai menyentuh soal pembubaran DUN.

Sumber UMNO mengesahkan PRN dijangka diadakan sama ada pada pertengahan atau menjelang akhir Februari ini mahu pun sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRN Johor mungkin tidak dapat dielakkan susulan kerajaan ketika ini hanya memiliki kelebihan satu kerusi DUN iaitu 28 kerusi manakala pembangkang 27 kerusi.

Justeru, katanya, Hasni mempunyai pertimbangan sendiri termasuk mengadakan perbincangan bersama BN dan Badan Perhubungan UMNO negeri berhubung kedudukan DUN itu.

“Mereka (UMNO Johor) memberikan data dan sains. Menteri Besar Johor sudah memberi penjelasan dan penerangan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengenai situasi di Johor.

“Maka kita dengar teliti (penjelasan). Walaupun begitu, keputusan akhir tertakluk kepada perkenan Sultan Johor,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO akan menggunakan acuan strategi PRN Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) khususnya mengetengahkan calon muda dan berusia bawah 50 tahun.

Katanya, UMNO juga mengamalkan pendekatan ‘WALI’ dalam memilih calon iaitu mereka yang boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likable).

“Apa yang berlaku di Melaka, saya menetapkan acuan melalui tiga kategori iaitu muka baharu, berkelulusan tertier atau sekurang-kurangnya diploma atau ijazah serta berusia 50 tahun ke bawah mesti melebihi 80 peratus.

“Pencapaian (pada PRN Melaka), kita dapati 87 peratus adalah muka baharu, manakala mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang baik (84 peratus) dan berusia 50 tahun ke bawah (82 peratus).

“Politik sangat dinamik dan perlu dilihat bukan hanya berpegang kepada prinsip statik atau jumud, mungkin disesuaikan mengikut negeri, kawasan Parlimen atau DUN.

“UMNO sangat fleksibel namun matlamat dan asas adalah kemenangan mesti memihak kepada parti, melalui usaha dilakukan sama ada secara taktikal atau strategik,” katanya.

 

Related Articles

Stay Connected

156,557FansLike
2,116FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles