PUTATAN: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat komited dalam menganjurkan kursus kemahiran serta keusahawanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ini bagi melahirkan lebih ramai masyarakat yang berkemahiran dan berdaya saing.
Katanya, ini seiring dengan aspirasi beliau untuk mempergiatkan aktiviti ekonomi serta perniagaan masyarakat setempat di daerah Putatan, khususnya Tanjung Keramat.
“Kita ingin menambah bilangan usahawan ataupun usahawanita di daerah Putatan.
“Ini untuk mnggerakkan pertumbuhan ekonomi dan juga aktiviti-aktiviti perniagaan serta memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka yang gigih berusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus gunting rambut anjuran Pusat Khidmat Rakyat Tanjung Keramat di sini semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, kemahiran yang diperolehi daripada kursus tersebut akan terus dipraktikkan untuk menambah kemahiran disamping boleh menjana pendapatan tambahan.
“Ilmu yang dipelajari ini boleh menjadi satu kerjaya di masa hadapan jika terus dipraktikkan.
“Apa yang penting ialah menimba ilmu, disiplin diri, rajin berusaha dan seterusnya uruslah kewangan dengan baik dalam memulakan perniagaan agar boleh maju ke hapadan” katanya.
Seramai 20 orang belia di Putatan menyertai kursus yang dijalankan selama sepuluh hari tersebut.
Peserta didedahkan dengan kemahiran-kemahiran menggunting serta mendandan rambut daripada tenaga pengajar yang professional dari Institute Kecantikan Negeri Sabah (NUVIS).