KOTA KINABALU: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah menyasarkan hasil jualan sebanyak RM200,000 melalui Promosi Kraf Malaysia 2021 di sini yang berlangsung selama 12 hari bermula hari ini.
Pengarahnya Fazlin Mohamad Zaki berkata promosi yang diadakan di sebuah pusat beli-belah itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan kraf tempatan kembali mempromosi dan memasarkan produk kraf secara fizikal terus kepada pengguna dalam norma baharu.
“Penganjuran promosi kraf secara fizikal ini disertai 43 usahawan dan komuniti kraf daripada pelbagai bidang kraf seperti hasil rimba, logam, tekstil serta aneka kraf,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Fazlin berkata daripada jumlah itu, seramai 10 usahawan daripada bidang kraf tekstil, bidang logam (seorang) manakala bidang hasil rimba dan aneka kraf (masing-masing 16 orang).
Menurut beliau selain pameran jualan, beberapa aktiviti turut diadakan sepanjang tempoh itu antaranya pertandingan fotografi, video kraf, pameran Jom Masuk IKN dan Mycraftshoppe.
Fazlin berkata usahawan kraf di Sabah telah berjaya menjana hasil jualan sebanyak RM1.1 juta sepanjang tahun ini hingga Oktober lepas melalui platform dalam talian.
Katanya dalam usaha membantu usahawan mempromosikan produk masing-masing di luar Sabah, Program Komuniti Kraf Malaysia yang akan diadakan pada 1 hingga 6 Dis depan di Kuala Lumpur turut melibatkan kira-kira 30 usahawan kraf dari Sabah.
— BERNAMA