PRU15: WARISAN bantu bekalan air di Sepanggar bukan bermusim- Mohd Azis

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (WARISAN), Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mempersoalkan isu berikutan tular di sosial media poster besar Pakatan Harapan (PH) berkaitan ‘Sepanggar Tiada Air.

Mohd Azis berkata, sepatutnya calon PH, Mustapha Sakmud bertanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Peto Galim apa yang telah dilakukannya selama ini.

“Agak lucu poster ini dikeluarkan oleh Calon PH semata-mata untuk meraih undi dalam kalangan rakyat di Sepanggar.

“Kita ingin bertanya di mana Calon PH selama ini musim rakyat Sepanggar memerlukan perkhidmatan mereka…Tiba-tiba muncul dengan membawa isu begini,” katanya di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, masalah air ini adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Negeri manakala semua urusan bekalan air serta infrastruktur menjadi tanggungjawab serta kuasa kerajaan yang memerintah.

“Saya ambil maklum akan masalah air di Parlimen Sepanggar yang semakin kritikal sejak beberapa hari ini.

“Suka saya ulang jawapan menteri semasa membawa isu ini berkali-kali di Dewan Rakyat bahawa kuasa mengurus air adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohd Azis berkata, Beliau sudah bertahun mengambil inisiatif menghantar serta membeli sendiri bekalan air dihantar melalui lori water tanker ke kawasan yang terjejas ini.

“Saya cuma mampu bantu mana yang saya mampu sebagai wakil rakyat bukan kerajaan,” katanya.

Mohd Azis berkata, sewajarnya Calon Parlimen dari PH itu sepatutnya bertanya apa sumbangannya kepada rakyat inanam bukan sahaja  mengenai masalah air, malah masalah lain.

“Kita juga jarang melihat kelibat ADUN Inanam untuk dalam menyelesaikan masalah bekalan infrastruktur asas penduduk kampung terutama di DUN Inanam,” katanya.