PRU15: Rubin Balang jangan berdolak-dalik sokong calon Bebas di Parlimen Tenom – Bung Moktar

LAHAD DATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang tidak perlu berdolak-dalik menafikan pembabitannya membantu anaknya ‘Riduan Rubin’ berkempen sebagai Calon Bebas di Parlimen Tenom.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika proses penamaan calon Rubin kelihatan mengiringi calon Bebas ke pusat penamaan calon.

Katanya, kelihatan juga Rubin bersama anaknya menyerahkan borang kemasukan ke Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di hadapan Presidennya Datuk Pater Anthony.

“Berkaitan penyertaan Riduan bersama KDM sudah tentu ingin menarik penyokong serta pengundi parti KDM untuk menyokong anaknya bagi mensabotaj Calon BN Jamawi Jaafar.

“Perbuatan ini sangat jelas membuktikan Rubin Balang dilihat terlibat secara langsung dalam pergerakan Calon Bebas di Parlimen Tenom,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bung Moktar berkata,  keputusan sudah dipersetujui kerusi parlimen Tenom diberikan kepada wakil daripada BN sekali gus secara tidak langsung Rubin telah mengetahuinya.

“Perbuatannya (Rubin) bersama calon Bebas sudah tentu menimbulkan presepsi negetif kalangan penyokong GRS dan BN, lebih lagi calon Bebas merupakan anaknya sendiri,” katanya.