PRU15: Umno Papar zahir sokongan padu kepada calon GRS

PAPAR: UMNO Bahagian Papar menzahirkan sokongan padu kepada Datuk Armizan Mohd.Ali sebagai calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) Parlimen Papar.

Ketuanya, Datuk Jamal Nerubi, berkata, tiada istilah rasa kecewa dalam perjuangan UMNO demi membela rakyat di kawasan itu walaupun tidak terpilih menjadi calon PRU15.

Katanya, sesiapa pun menjadi calon dalam gabungan itu semua pihak perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sekali gus memastikan kemenangan di Parlimen Papar.

“Kita akan turun, berkerja sebagai satu pasukan yang kuat…Pastikan calon Armiza Mohd Ali menang di Parlimen Papar.

“Yakin jika bergerak dalam pasukan yang kuat serta hebat ia akan menghasilkan keputusan yang baik sekali gus Parlimen Papar dikembalikan kepada kita,” katanya di sini semalam.

Parlimen Papar menyaksi pertandingan enam penjuru GRS diwakili Armizan Mohd Ali, Ahmad Hassan dari Parti Warisan; Henry Shim (Pakatan Harapan); Nicholis Sylvester@Berry (Pejuang Tanah Air); Norbert Chin (Bebas) dan Jhonny Sitamin(Bebas).