KUALA LUMPUR: Suara Sabah dan Sarawak perlu lebih besar di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, kembali bertanding bagi penggal kelima di Parlimen Petra Jaya, Sarawak.
Katanya, jumlah kerusi bagi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat kekal menjadi isu terbesar berkaitan Perjanjian Malaysia 1863 (MA63) yang perlu diselesaikan.
“Ini berdasarkan semangat perjanjian, dua wilayah Borneo itu merupakan rakan pengasas setara persekutuan, tidak dijelmakan menerusi perwakilan Parlimen.
“Jika anda mahu meminda Perlembagaan atau sesuatu menyentuh hak Sabah dan Sarawak, anda perlukan dua pertiga majoriti.
“Ketika ini, Ahli Parlimen Semenanjung mewakili dua pertiga di Dewan Rakyat dan mereka dapat meminda Perlembagaan tanpa perlu berunding dengan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam laporan FMT online hari ini.
Fadillah berkata, keseimbangan itu menjadi penyebab kepada parti pemerintah Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu perwakilan di Parlimen lebih baik bagi wilayah itu dan Sabah, kata Fadillah, yang juga ketua whip Parlimen gabungan berkenaan.
“Dengan kefahaman itu, saya fikir Sabah dan Sarawak pastinya lebih gembira.
“Jika anda lihat Sarawak, wujud beberapa kumpulan yang ekstrem dan sanggup bercakap untuk membawa keluar Sarawak dari Malaysia.
“Dalam GPS, kami mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia, namun kita perlu menghidupkan semula semangat MA63.
Dilaporkan sebelum ini bahawa sejumlah 15 isu berkait MA63 belum diselesaikan termasuk penurunan kuasa berhubung kesihatan, persekitaran, buruh dan isu tanah.