TENOM: Keputusan calon bebas Parlimen Tenom, Riduan Rubin menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) adalah keputusan atas dirinya sendiri.
Pengerusi Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (Tenom), Datuk Rubin Balang, berkata ini selepas anaknya mendapat tawaran daripada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.
Katanya, beliau kesal dengan tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesa agar Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor mengambil tindakan terhadapnya sekali gus memecat daripada jawatan dalam GLC kerajaan.
“Saya difahamkan, selepas Riduan bersama penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, Peter menghubungi saya dan meminta agar datang ke pejabat Parti KDM.
“Mereka juga bertanya sekiranya saya membantah keputusan itu….Saya tidak mempunyai kuasa untuk membantah memandangkan Riduan telah meletak jawatan daripada BERSATU sebelum hari penamaan calon lagi.
“Selepas pertemuan singkat itu saya kemudiannya terus keluar dan beredar dari Pejabat KDM,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Rubin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, Bung Moktar sedar bahawa adalah tidak adil untuk melarang mana-mana pihak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.
“Kita berharap Bung Moktar matang dalam politik agar tidak mudah terpengaruh dengan laporan tidak berasas calon BN di Parlimen Tenom Jamawi Jaafar yang sengaja mahu menjejaskan nama baik saya,” katanya.