PRU15: Pastikan calon GRS-BN menang di Parlimen Pensiangan esok – Hajiji

PENSIANGAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pensiangan adalah kemenangan Kerajaan GRS-BN.

“Justeru, sekali lagi saya minta mandat daripada rakyat untuk memilih calon Kerajaan Negeri bagi Pensiangan ini.

Janganlah kita harap kepada Parti Warisan, Harapan, KDM dan Pejuang kerana sandaran kita adalah kepada anak muda ini, Datuk Arthur Joseph Kurup.

“Apa kita harap pada calon lain yang menjadi pembangkang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Kita jangan salah pilih, terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama rakyat di DUN Sook di Dewan Kampung Kapakaan Biah, Keningau, di sini malam tadi.

Hajiji berkata, apa yang penting adalah kestabilan politik agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa kepada rakyat.