PRU15: Muhyiddin restu Ronald Kiandee tanding di Beluran

KEDAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil mempertahankan tindakan Datuk Seri Ronald Kiandee bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran.

Menurutnya, ini Ronald Kiandee merupakan naib presiden Bersatu dan sepatutnya kerusi itu milik parti itu.

Katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding sekali gus bukan diberikan kepada Barisan Nasional (BN).

“Kenapa anda (GRS) tidak mempertahankan Kiandee? Adakah ia adil? Itu jawapan saya.

“Itu calon saya dan dia naib presiden (Bersatu), dia penyandang. Dia tidak dapat watikah daripada GRS. Apa yang anda buat jika di posisi saya?

“Jadi saya beritahu Kiandee bahawa keputusan kami (PN) ialah dia boleh bertanding menggunakan tiket PN,” katanya dalam laporan Malaysiakini.

Terdahulu Ronald menawarkan diri untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Beluran sekali gus menyebabkan pertembungan dengan calon BN, yang menjalin kerjasama dengan GRS dalam mentadbir Kerajaan Sabah, iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat.

Ronald berkata Bersatu masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, Bersatu dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.

Sementara itu Muhyiddin menegaskan mereka (PN) bahkan boleh sepatutnya boleh meletakkan calon di lima atau enam kerusi lagi di negeri itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Pada PRU 2018, Ronald, yang ketika itu daripada Umno mewakili BN menang dengan majoriti 7,115 undi, namun beliau bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu pada 2019.