PRU15: Masalah kekurangan doktor pakar di Hospital Lahad Datu perlu perhatian segera

LAHAD DATU: Masalah kekurangan doktar pakar di Hospital Daerah Lahad Datu memerlukan tindakan drastik bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan lanjut.

Calon Parti Warisan (WARISAN) Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Afdal berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga kini gagal mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, WARISAN yakin dapat menyelesaikan masalah ini apabila diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah pembangunan di daerah Lahad Datu tidak terurus dengan baik dan teratur, termasuklah Hospital yang tidak memiliki doktor pakar.

“Bayangkan jika berlaku pesakit memerlukan rawatan pakar mereka perlu membuat pilihan ke Tawau dan Sandakan sehingga memakan masa sehingga dua jam,” katanya di sini hari ini.

Mohammad Yusof berkata, WARISAN akan memberikan keutamaan kepada masalah tenaga doktor pakar sekali gus menyelesaikan masalah tersebut selepas PRU15.

“Dalam masa sama sudah tentu projek pembangunan ini menjadi keutamaan WARISAN bagi memastikan rakyat di peringkat akar umbi mendapat manfaatnya,” katanya.