KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto yang mengandungi empat teras dan 13 tunjang utama.
Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor berkata, GRS akan meneruskan komitmen melaksanakan agenda Sayangi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang telah kita tawarkan sebagai Manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu.
“Komitmen kita telah diterjemahkan dengan penjajaran agenda Sayangi Sabah dan Aku Janji GRS di dalam dokumen pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang telah diperkenalkan pada 29 Mac 2021, genap enam bulan setelah kita memperolehi mandat rakyat,” katanya hari ini.
Menurut beliau, manifesto ini yang berpandukan empat teras perjuangan GRS yang meliputi ‘Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu)’.
“Ia merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh kita semua,” katanya.