PRU15: Kerjasama BN-GRS diharap manfaatkan kedua-dua pihak – Bung Moktar

SANDAKAN: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), diharap mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata rundingan kerjasama BN dan GRS pada masa ini, sedang berjalan dengan baik, dan dijangka dimuktamadkan menjelang PRU15 nanti.

Beliau berkata BN Sabah pada masa ini telah mengenal pasti calon berpotensi untuk bertanding pada PRU15, dan akan memuktamadkan senarai nama calon itu kepada BN pusat setelah rundingan bersama GRS selesai kelak.

“Sokongan peringkat akar umbi terhadap BN di Sabah cukup meyakinkan, semua persiapan dilakukan BN Sabah untuk mengekalkan kemenangan dahulu dan akan dapat memberi seberapa banyak kerusi untuk membantu BN menawan Putrajaya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5 di sini, yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Sementara itu, Reezal Merican ketika ditemui pemberita berkata BN Zon 5 melibatkan kawasan Parlimen Kinabatangan, Libaran, Beluran, Sandakan dan Batu Sapi, mampu menjadi talian hayat kepada gabungan parti itu pada PRU15.

Beliau berkata meskipun menghadapi kesukaran pada PRU14 lepas, jentera BN di zon tersebut mampu  mempertahankan tiga daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi, menunjukkan kekentalan jentera di Zon 5.

Berkenaan kerjasama BN dan GRS di Sabah, beliau berkata mengikuti serta meneliti perkara tersebut dan melihat GRS menyatakan sokongan dan kehendak untuk bersama BN dalam PRU15 akan datang.

“Hakikatnya siapa musuh utama (BN)?, musuh utama barangkali adalah (Parti) Warisan…dalam soal ini di peringkat kepimpinan pusat, kita telah meletakkan kepercayaan kepada Datuk Seri Bung dan juga kepada Datuk Yakub Khan (Timbalan Pengerusi BN Sabah),” katanya.

GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang menjalin kerjasama bersama BN bagi mentadbir negeri itu.

— BERNAMA