26 C
Kota Kinabalu
Friday, March 24, 2023

Larangan ahli Parlimen tukar parti akan dikuat kuasa sebelum PRU15 – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan  dalam masa terdekat, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata akta yang telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu masih tiada tarikh khusus bagi dikuat kuasa ketika ini.

“Ia (kuat kuasa akta) akan berlaku sebelum itu (PRU15). Jadi, semua perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi (untuk maklumkan mengenai perkara itu) dalam masa terdekat,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada akta berkenaan akan dilaksanakan atau tidak sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Al-Sultan Abdullah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 lepas.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata Bajet 2023 tetap akan dibentangkan Jumaat ini seperti yang dijadualkan susulan spekulasi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Menjawab mengenai usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang ditangguhkan lagi, Wan Junaidi berkata perkara itu berikutan hanya terdapat satu pencalonan sahaja bagi jawatan berkenaan untuk undian di Parlimen.

Beliau berkata hanya satu nama sahaja yang dikemukakan iaitu dari pihak kerajaan dalam tempoh 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

“Saya telefon (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tanya dan beritahu beliau sekiranya tiada pencalonan dari Pakatan Harapan (PH), maka atas pemahaman yang dahulu bahawa kita akan tarik kita punya calon,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said ditangguhkan buat kali kelima dan dibawa ke persidangan akan datang.

— BERNAMA

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="SabahNewsToday" twitter="@SabahNewstodayN" youtube="#" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333"]
Iklan

Latest Articles