KOTA KINABALU: Rakyat Sepanggar digesa ‘Menolak Pembangkang’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas sepenggal berada di bawah Parti Warisan (WARISAN).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat Sepanggar perlu memenangkan calon BN, Datuk Yakub Khan berikutan beliau adalah satu-satunya anak tempatan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar.
Katanya, jika calon pembangkang masih dikekalkan di Sepanggar kemungkinan terus mundur berbanding kawasan lain.
“Yakub rumah dia di sini dan dia tiada tempat lain lagi mahu pergi selain di Sepanggar ini…Jadi selayaknya rakyat memilih pada PRU15.
“Rakyat Sepanggar tidak boleh membiarkan kawasan ini sekali lagi dimenangi pembangkang….Ingat itu,” katanya pada ceramah Perdana di Kampung Warisan, Inanam, di sini hari ini.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, inilah peluang untuk rakyat di Sepanggar mengubah keadaan di kawasan mereka agar tidak mundur atau terus ketinggalan.
“Jika dibandingkan dengan Kinabatangan, Sepanggar ini tidaklah luas tetapi Kinabatangan lebih membangun atas usaha saya.
“Kalau dulu datang ke Kinabatangan hanya ada hutan rimba saja, tempat hantu bertandang tetapi sekarang jalan rayanya kalah yang ada di bandar,” katanya.