PRU15: Polis terima 39 laporan kesalahan di Sabah

KOTA KINABALU: Polis menerima sebanyak 39 laporan polis diterima dengn membabitkan enam kertas siasatan dibuka berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, ini melibatkan tempoh 26 Oktober hingga 7 November 2022.

Katanya, laporan yang diterima membabitkan pelbagai kesalahan antaranya fitnah dan rusuhan.

“Setakat ini permohonan permit pilihan raya, Polis meluluskan sebanyak 369 permit setakat 7 November lepas.

“Hasil pemeriksaan kesemua kempen yang dijalankan mempunyai permit dan tidak melanggar syarat kempen yang ditetapkan. 

“Semua parti politik yang bertanding diingatkan untuk membuat permohonan kelulusan permit terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kempen dan ceramah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Idris berkata, kesemua syarat permit yang ditetapkan perlu dipatuhi termasuklah tiada unsur provokasi, fitnah dan perkauman.

Pihaknya juga mahu semua parti politik memastikan penyokong masing-masing menjaga tatalaku dan tidak melanggar undang-undang ataupun memulakan pergaduhan. 

“Semua penyokong yang hadir kempen atau ceramah perlu mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak membuat sebarang halangan di jalan raya,” katanya.