SANDAKAN: Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang berkata kerjasama GRS-BN itu dijangka dapat dapat memenangi lebih daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU15.
Ketua Menteri Sabah itu berkata ini kerana rakyat sendiri dapat melihat kerajaan negeri dipimpin GRS-BN menekankan politik pembangunan dan perpaduan sebagai landasan untuk membawa kestabilan dan kemajuan di negeri ini.
Katanya, kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya, berbanding pendekatan politik mengikut emosi hingga rakyat dan kawasan tidak terbela.
“Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan, kemajuan dan perpaduan. Jangan pakai (guna) perasaan, ada yang kita tidak senang hati sikit-sikit tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi hari ini.
Hajiji berkata Sabah mempunyai sumber yang banyak tetapi disebabkan politik, rakyat dan pemimpinnya berpecah belah sebelum ini menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi kemajuan.
BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menjalin kerjasama dengan GRS yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bagi mentadbir negeri ini.
Menerusi kerjasama itu, yang diteruskan pada PRU15 menyaksikan BN meletakkan calonnya di 12 kerusi Parlimen, manakala GRS bertanding di 13 kerusi Parlimen dengan keseluruhan 25 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.